BAHASA MALAYSIA

TINGKATAN ENAM

Saturday, July 2, 2011

BAHASA MELAYU



video

SEJARAH BAHASA MELAYU

1.0  Pendahuluan

Asal-usul orang Melayu, iaitu penutur asli bahasa Melayu, amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam. Walau bagaimanapun hasil kajian daripada sarjana tempatan dan Barat, kita dapat mengetahui secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno, iaitu nenek moyang kita sendiri.


1.1 Asal-usul Bahasa Melayu
         
Kita selalu menggunakan istilah ‘bahasa Melayu’, ‘orang Melayu’ atau ‘bangsa Melayu’. Tahukah kita apa istilah ‘Melayu’ ini, dan bagaimanakah asal-usulnya? Pada peringkat awal sejarah, istilah ‘Melayu’ dikaitkan dengan konsep kerajaan. Bukti sejarah menunjukkan bahawa perkataan Melayu, pada masa dahulu merujuk kerajaan atau kawasan, dan tidak manusia atau bangsa.

1.2 Bahasa Melayu Kuno

Istilah ‘Melayu’ sangat baru dijumpai, iaitu hasil daripada kesan-kesan sejarah. Istilah ‘Melayu’ paling awal dijumpai dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina pada zaman dinasti T’ sang, yang dipercayai ditulis pada sekitar tahun-tahun 645-655 Masihi.

Konsep Melayu sebagai bahasa masih belum timbul pada peringkat ini. Mengikut catatan I’tsing sekitar tahun 644-645 Masihi, terdapat sejenis bahasa yang dituturkan di Sriwijaya pada waktu itu bernama ‘K’un-lun. Bahasa’K’un-lun ini bukan sahaja dituturkan oleh penduduk tempatan tetapi juga dipelajari oleh orang asing untuk memudahkan mereka berkomunikasi.

Dipercayai bahawa ‘K’un-lun ini ialah bentuk bahasa Melayu tua yang terawal, yang dikenali juga dengan nama bahasa Melayu kuno.


1.3 Bahasa Melayu Melaka dan Selepasnya

Bahasa Melayu menjadi alat penyebaran agama Islam, satu agama yang tinggi martabat kebudayaannya sewaktu zaman Kerajaan Melaka, iaitu zaman keagungan kerajaan Melayu. Penggunaan bahasa Melayu begitu meluas melalui pengaruh politik Melayu pada masa itu. Hasil daripada faktor-faktor ini perkembangan bahasa Melayu begitu pesat berkembang, dan bahasa Melayu mendapat satu bentuk tulisan baru, iaitu tulisan jawi.

Perbendaharaan kata bahasa Melayu bertambah dengan pesat, iaitu hasil daripada keperluan untuk mempertahankan idea-idea baru yang datang bersama peradaban Islam. Bahasa Melayu terus berkembang, terutamanya dalam bidang kesusasteraan dan telah menjadi medium penting bagi menyampaikan kesenian Melayu-Islam pada zaman tersebut.

1.4 Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca

Orang-orang Eropah yang datang ke Nusantara bukan sahaja datang untuk berdagang, malahan mereka mempunyai niat untuk mengembangkan agama Kristian. Banyak juga daripada mereka yang menjalankan penyelidikan tentang kesusasteraan tempatan.

Dalam catatan-catatan dan penulisan-penulisan mereka, jelas kelihatan betapa penting dan luasnya penggunaan dan penyebaran yang berlaku terhadap bahasa Melayu pada ketika itu. Bahasa Melayu tersebar dengan luas dan menjadi Lingua Franca terutamanya di daerah kepulauan Melayu. Sifat bahasa Melayu yang dikatakan agak sederhana dan mudah untuk dipelajari menjadikan bahasa Melayu sentiasa mendapat perhatian pengkaji bahasa baik dari Timur mahupun orang-orang Eropah.

1.5 Perancangan Bahasa dan Dasar

Dari segi perancangan bahasa, negara Malaysia mempunyai dasar bahasa yang cukup jelas, iaitu mempunyai dasar Bahasa kebangsaan, dasar bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan, dan dasar bahasa untuk maksud-maksud tertentu atau khusus.

Secara umum, dasar bahasa bagi negara Malaysia dapat dirumuskan seperti berikut:
(i)                Dasar Bahasa Kebangsaan: Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu atau Bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan.
(ii)             Dasar Bahasa Rasmi: Bahasa rasmi ialah bahasa Melayu atau Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi.
(iii)           Dasar Bahasa Pendidikan: Dasar bahasa pendidikan jelas, iaitu bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi semua sistem pendidikan formal peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah dan pengajian tinggi.
(iv)           Dasar Penggunaan Bahasa: Walaupun ada Bahasa Kebangsaan, tiada sesiapa pun yang boleh dilarang daripada menggunakan, belajar atau mengajar apa-apa bahasa lain.

Sumber : internet